Thursday, November 5, 2009

Baru bangkit dari tidur


Saya rupanya ada masalah perlu selesaikan sesuatu ikut turutan yang sebenar. Walaupun Syawal sudah lama berakhir, dan aktiviti makan-makan yang kami buat pun sudah lama berlalu, saya perlu ikut turutan kronologi gambar, entah mengapa saya sendiri tidak faham.

Lebih lama saya tangguhkan, lebih tidak relevan kumpulan gambar ini untuk dikongsi. Bukanlah mahu heboh sangat, cuma mahu berkongsi terutama dengan emak yang susah-susah ajar saya buat ketupat sejak mula beli daun, hingga anyam, hingga selesai rebus.

Lain-lain, lauk komplemen ketupat yang biasalah, tidak perlulah saya letak resepi (malas sebenarnya).

Kami buat aktiviti makan-makan ini joint-venture dengan Sue dan Choe. Sebab mahu jimat masa dan kos dan lebih mudahlah berganding tenaga begini. Saya sediakan ketupat, rendang ayam, sambal tumis udang dan sambal kacang. Sue masak kuah lodeh, sambal sotong, dan tempah sate. Aktiviti makan-makan sembang-sembang semua berlangsung di rumah Sue.




Pertama kali anyam ketupat guna daun nipah. Ya, di tamu Bintulu tiada orang jual daun kelapa untuk ketupat, maka perlu cuba belajar anyam guna daun nipah. Mula-mula skeptikal, sebab ketika masukkan beras dalam sarung ketupat, semua daun sudah kelihatan kecut dan layu, langsung tak selera. Tapi tidaklah mahu buang, membazir masa anyam berdua depan tv. Tapi kemudian lepas rebus, jadi cantik semula. Oh, untuk daun nipah yang lebar, kami perlu bahagi dua supaya boleh anyam ketupat bawang (Zul baru belajar anyam ketupat bawang, saya belum ajar jenis ketupat lain. Macamlah tahu banyak jenis anyaman, haha). Bolehlah, hasil first-timer mengusahakan produksi ketupat.


Saya mahu kongsi, rupanya kepadatan ketupat adalah berlainan ikut negeri. Sekurang-kurangnya bagi Melaka dan Johor lah (yang saya perhatikan). Orang Melaka suka ketupat lembut, tidak berapa padat, sebab kami memang suka cicah dengan sambal tumis, dan tabur urap kelapa. Kelembutan nasi boleh menyerap sambal dengan lebih efektif.

Tapi orang Johor suka ketupat padat dan keras, sebab mereka makan ketupat dengan kuah lodeh banjir, kemudian bubuh sambal kacang di atasnya. Jadi kebanjiran kuah lodeh sudah mampu untuk melembutkan ketupat.

Orang Melaka makan ketupat lebih nikmat dengan tangan, supaya boleh mengecap kepedasan sambal di hujung jari. Orang Johor makan ketupat dengan sudu dan garfu.

Tiba-tiba buat perbandingan orang Johor dan Melaka dalam konteks ketupat. Haha.

Saya bercadang mahu meng-you tube-kan cara-cara anyam ketupat, manalah tahu boleh jadi rujukan mudah untuk yang bercadang mahu belajar. Tapi nantilah, bila jari sudah kurus sedikit. Nanti orang terganggu dengan cikgu menganyam berjari gemuk.

Dapat juga saya update blog. Tahniah untuk diri sendiri.


p/s: Rupanya sudah ramai orang ajar anyam ketupat di you tube. Niat mulia saya tak perlulah diteruskan jika begitu, kan.





Tuesday, October 27, 2009

Kemalasan yang tulus



Bosannya blog saya sejak dua menjak ini. Malas mahu bagi alasan lagi. Mungkin kerana malas adalah alasan utama.

Sampai hilang malas, nanti.


Tuesday, October 20, 2009

Menjejaki Temasik

Sudah dua tahun berkahwin dengan Zul, baru dua kali saya jejak Singapura, itupun melawat sepupu Zul di Woodlands. Memang tiap kali balik Johor, Zul akan pesan bawa paspot, manalah tahu akan menyeberang ke Singapura. Haha. Baru Raya lepas dapat buat betul-betul.

Kali terakhir saya berjalan-jalan di Singapura, naik MRT dan sebagainya waktu itu kecil betul. Mungkin darjah dua. Waktu itu, jadi jakun tengok dua pupu saya hidangkan kami roti dengan Smucker's Goober yang ada lapis peanut butter dengan jeli strawberi. Kagum sangat sampai kami habiskan sebotol. Haha. Seperti kata Hanis Zalikha, jakun sedikit itu tidak mengapa, ia baik untuk jiwa. Haha. Kemudian terjakun lagi naik MRT, masa itu Kuala Lumpur belum ada komuter rasanya. Kalau adapun, mungkin saya tidak tahu, sayakan duduk di Melaka.

Baiklah, walaupun hari ini sudah masuk Zulkaedah, saya ceritakan jugalah, sebab sudah berjanji.

Kami bertolak pagi, sebab mahu tiba sebelum pukul 11 di stesen teksi Woodlands Checkpoint, kami janji dengan Abang Fir dan Kak Syida sepupu Zul yang waktu itu bermurah hati bawa kami masuk Singapura.



Naik bas dari Terminal Teksi Jalan Trus, Kotaraya II, cuma RM1 seorang. Kemudian bila tiba pejabat Kastam kena lari-lari cop pasport dan isi borang imigresen kemudian kejar semula bas yang sama. Penumpang akan diturunkan di Woodlands Checkpoint. Kami tunggu Kak Syida di situlah, kemudian Abang Fir turunkan kami di Orchard Road. Gambar di atas, waktu menunggu bas, menunggu Kak Syida, di hadapan ION Orchard yang paling baru, dan kondisi di dalamnya. kami terpaksa jakun lagi, Zul beritahu, tandas lelaki yang berdiri ada skrin LCD. Konon-konon untuk hiburan sementara urusan tandas dijalankan. Dengkilah, perempuan punya tandas tiada pun. Haha.


Jalan-jalan di Orchard Road ini, kalau tidak bawa duit memang kurang bermakna. Ataupun kalau tiada fashion-sense macam saya, memang konon-konon tidak pandanglah. Semua designer's boutique, kami lalu-lalu saja. Kemudian sudah lapar sedikit, Kak Syida belanja makan karipap sedap ada telur dan sotong goreng dan fish ball goreng dari Old Chang Kee. Ada sijil halal dari MUIS, kalau tidak memang telan air liur saja tengok karipap panas.


Sementara masih di Orchard Road, kami tunggu Zuhur dan singgah di masjid Al-Falah, satu-satunya masjid di kawasan itu. Mujurlah jalan dengan kak Syida, kalau berdua dengan Zul mungkin terpusing-pusing cari jalan ke sini ke sana.


Kemudian kami naik MRT, untuk ke Raffles Place, untuk makan tengahari. Orang Singapura semua jalan laju-laju. Eskelator di Singapura juga dua kali lebih laju dari di Malaysia. Lima kali lebih laju dari eskelator di City Point Bintulu. Betul, sebab selalunya rosak memang kena naik tangga macam biasa.


Tiba di Raffles Place, tempat ini seperti pusat pejabat-pejabat utama. Kami makan di Banquet, salah satu food court di situ yang menyediakan makanan cina halal. Pertama kali makan kaki ayam (dim sum style), fried carrot cake, dan siew mai. Selain itu dapat rasa char kuey teow versi Singapura, dan beef stew noodle soup, juga versi Singapura. Nampak macam cukup-cukup untuk tiga orang rupanya tak habis. Haha. Rupanya char kuey teow versi Singapura ada campur mee kuning juga. Semua sedaplah, terima kasih Kak Syida, belanja kami makan tengahari. Malu-malu segan, tapi makan juga. Haha.


Kemudian jalan-jalan lagi ke The Durian Building (Esplanade), ke Marlion, Maybank Tower, ambil gambar sikit-sikit, kemudian berlakon sikit (cuba jadi happening macam Kak Syida tapi gagal), kemudian sampai ke Fullerton Hotel.


Waktu ini sedang tunggu Abang Fir ambil kami, untuk ke rumah kakak Kak Syida (Kak Dekda) di Woodlands.


Memang singkat betul masa, tak sempat ke Mustafa Centre, tak sempat ke Geylang, tak sempat pun cari Murtabak dan Rojak Singapura. Sampai di rumah mereka sudah Maghrib, makan malam kemudian berbual sikit, kemudian pulang semula ke Woodlands Checkpoint untuk naik bas pulang ke tanahair. Haha tanah air cuma sekangkang kera dari Singapura. Sampai di Checkpoint Malaysia sudah jumpa eskelator berkelajuan Malaysia semula.

Mungkin lain kali dapat rancang betul-betul, dapat jumpa Kak Sasha, dan dapat makan murtabak singapura yang tebal itu.

Semua pun sekitar makanan ya, patutlah muka sudah bulat.

Gambar yang lain ada di facebook, macam biasa.


Monday, October 12, 2009

Kuduskanlah kemaafan, tuluskan keampunan

Orang lain sudah lama lepas fasa tayang gambar raya. Saya baru mahu terhegeh-hegeh edit dan sebagainya. Sebetulnya sudah siap semalam. Kemudian lepas preview jadi benci sebab gambar pecah, lepas edit guna photoscape. Hari ini cuba tukar dpi output, kemudian ini hasilnya. Masih sama. Saya jadi malas mahu kisah. Ini sekadar mahu berkongsi lah, jika mahu lihat dalam keadaan lebih baik, ada di sini dan di sini. Itupun, menurut Zul bukan kualiti terbaik.

Cukup-cukuplah dengan teknikaliti segala.





Dua hari di Melaka, berhempas pulas buat biskut raya, cuma dua jenis saja sempat, kemudian buat kek beberapa loyang (untuk semua mak mertua yang terlibat), kemudian anyam ketupat kemudian pengsan. Haha. Yang peliknya, walaupun hampir pengsan, saya rasa waktu siap-siap untuk raya ini adalah highlight setiap kali raya. Bukan baju raya, atau kasut raya, atau rendang siapa paling lazat, atau pergi rumah siapa kemudian pulang jadi sakit perut, bukan. Waktu inilah. Ayah saya yang waktu kami pulang sungguh lesu dan tidak selera makan, jadi kembali normal dan sihat, alhamdulillah. Emak juga, jadi riang dan bertenaga. Kalaulah boleh pulang selalu.


Ini di JB, selepas solat sunat Aidilfitri, selepas ziarah kubur, dan selepas salam-salam cuci dosa minta ampun. Waktu ini sudah terlalu lapar teringat-ingat ketupat dengan sambal kacang dengan rendang segala. Tapi nanti kalau tidak ambil gambar, nanti sudah comot semua. Oh, yang berdua sebelah saya itu anak saudara Zul, dua-dua sudah besar jelita, saya sungguh rasa tidak berseri duduk sebelah mereka. Dan lagi seorang itu abang ipar saya. Ahli keluarga lain di rumah keluarga mertua.


Ini gambar raya rasmi keluarga Melaka tahun ini. Emak kata, sayangnya yang lelaki semua tidak berbaju Melayu. Sebetulnya ini sudah raya ke tujuh. Waktu mahu ke Kuala Lumpur, memang akan jalan jauh, kalau mahu salin baju Melayu, mesti tahun depan pun tidak siap gambar ini. Tidak cukup sistem cahaya buatan sebetulnya. Tapi buat sajalah dengan apa yang ada.

Oh, kami singgah makan mee goreng basah waktu pulang dari kampung ayah di Masjid Tanah. Di kedai makan yang memang sejak kecil ayah selalu bawa. Kalau mahu bandingkan rasanya dengan tempat lain, biasa-biasa saja. Tapi terlalu banyak kenangan di kedai makan ini. Konon-konon seperti indulging while walking down the memory lane. Heh.


Ini gambar campur-campur waktu beraya di Melaka.


Kami sempat hadir majlis kahwin Sarah dan Raja, di Kelana Jaya, waktu ke Kuala Lumpur. Walaupun tiba lewat, mujur sempat jumpa rombongan dari Bintulu, yang rata-rata memang rajin datang kenduri kahwin.

Tidak sempat ambil gambar banyak, mungkin terlalu sibuk makan. Tapi cukuplah dapat ambil yang penting dan sempat jumpa saudara mara. Kalau bukan Raya, kenduri pun belum tentu dapat pulang semenanjung.

Sekali lagi, maafkan kualiti gambar yang seperti pecah.

Nanti saya kongsi lagi cerita raya, meski Syawal ada berbaki beberapa hari saja. Sampai nanti.





Wednesday, October 7, 2009

Can't keep my hands out the cookie jar


Teruknya bahana penyakit malas. Saya sedang berusaha menghabiskan puasa enam, tetapi sepatutnya ada hikmah puasa, ini jadi terlalu malas. Teruk betul.

Alhamdulillah, komputer sudah pulih, gambar juga sudah edit. Cuma itulah.

Itu gambar sneak preview, sebelum yang lain menyusul. Jika kalian ada dalam network Facebook saya, mungkin juga sudah lihat gambar raya kami. Alahai bukannya penting sangat atau kami ini orang-orang penting, tapi cuma mahu berkongsi. Itupun jika sudi. Heh.

Tajuk entri itu tiada kena mengena pun dengan entri ini, cuma pelik mengapa saya boleh ada lagu teruk begitu. Eh, tak perlulah google pula lepas ini. Lagu teruk.

Sekian.

p/s: Ada apa dengan kebencian kumpulan Bendera dari Indonesia itu? Risau betul saya, sampai mahu guna ilmu hitam semua. Semoga Allah lindungi kita semua dari hasutan syaitan yang mahu kita berpecah belah.


Friday, October 2, 2009

Hari bukan sentiasa ada matahari atau hujan, kadang-kadang muncul jerebu tebal juga





Kami sudah kembali ke tanah bertuah Bintulu tiga hari lepas, tapi baru sempat memunculkan diri di dunia virtual. Sampai Marliza risau saya tidak kelihatan. Sebetulnya kalau balik ke rumah memang banyak kerja dan ada sedikit tempoh jetlag yang sungguh mengada, kalau mengadu pada Zul, dia akan suruh saya ke gim.

Tapi alhamdulillah, siri terakhir baju-untuk-dibasuh sudah selesai semalam, dan beg sudah selesai unpack, cuma kuih raya belum selesai susun dalam botol. Bukan kuih raya sangat pun, cuma kerepek dan jeruk dari emak-emak di Melaka dan Johor Bahru.

Sepanjang tiga tahun yang lepas, cuti Aidilfitri akan jadi sungguh padat, tidak terkejarkan untuk beraya dan meluang masa dan bersembang betul-betul dengan keluarga dan saudara-mara. Tapi syukur, kesempatan yang sedikit itu kami dapat manfaatkan dengan keutamaan wajib untuk emak dan ayah, dua-dua belah. Saya fikir, bila sudah dewasa dan berumahtangga begini, Aidilfitri bukan satu ruang untuk kami bersuka ria dan bermewah-mewahan. Bagi saya, yang paling penting dapat gembirakan hati orang-orang yang kami sayang.

Saya dan Zul memang tidak sempat beli baju raya, tidak sempat beli kain di Semenanjung dan tidak sempat tempah. Lagipun, saya memang tidak gemar baju siap yang memang banyak jual terutama di Angsana. Marliza mesti tahu betapa banyaknya baju raya sampai rambang mata, kalau mahu beli. Tahun depan, insyaallah, boleh susun rancangan lebih baik untuk Aidilfitri.

Belum sempat edit gambar raya, mungkin bila komputer atas meja kami sudah pulih, sebab gambar banyak, dan ada siri jalan-jalan ke Singapura juga. Boleh sebenarnya guna komputer riba, tapi akan guna terlalu banyak masa, sebab sudah terlalu berat papan pemproses (processor) dia tidak mampu buat kerja teruk-teruk. Kasihan.

Oh, juga entri resepi saya masih bertangguh. Nantilah, pada satu hari yang tenang, saya kongsi. Maaf bagi sesiapa yang menunggu. (Maaf zahir batin untuk sepanjang tahun sampai Aidilfitri tahun depan, ya?).

Sampai ada ruang nanti, jaga diri, usahakan untuk berpuasa enam jika mampu ya? Peringatan untuk diri sendiri juga, heh.


Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidilfitri

Lama betul tidak menulis. Hujung-hujung Ramadhan ini internet jadi mogok terus mungkin beri kesempatan untuk lebih beribadat. Tapi saya bertangguh banyak betul entri resepi, kebanyakannya menu berbuka di rumah.

Tapi tiada rezeki agaknya, untuk kongsi resepi kali ini. Saya sekarang sedang menunggu di Lounge Lapangan Terbang Kuching, untuk pesawat ke Kuala Lumpur beberapa jam lagi. Sedang menulis dari ipod yang papan kekuncinya sungguh kecil mencabar jari saya yang gemuk.

Sementara masih berpeluang, mungkin ini entri terakhir sebelum Aidilfitri. Salam Aidilfitri untuk semua, maafkan salah silap jika saya pernah tersinggung tanpa sedar. Bersederhanalah menjamu selera, dan berhati-hati di jalanraya. Bunyinya sudah seperti ucapan guru besar sekolah. Haha.

Sampai jumpa lagi, jangan diabaikan Ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi, mungkin Lailatulqadar masih sempat ditemui.

P/s: Selamat ulangtahun lahir untuk abang dan kak long yang harinya cuma berselang dua saja. Moga Allah sentiasa berkati umur dan hidup.